Wednesday, February 16, 2011

Kem Kepimpinan Di Puskep Mara, Lenggong, Perak. (Part 2)

Hari kedua (Khamis)-10/2/2011, pagi itu, selepas mandi kami pergi bersarapan di dewan terbuka.Sebelum sarapan kami membuat reganggan badan (senaman ringan). Selesai sahaja kami ke meja makan yang sudah dibahagikan kepada setiap kumpulan
 kerana pada hari pertama lagi kami telah membuat pemilihan kumpulan dan aku mendapat kumpulan ke-6. Bersama rakan dalam kumpulan itu memang menyeronokkan kerana seorang china selalu membuat kami tertawa dengan karenahnya dan seorang gadis yang agak garang gitu, yang asyik cakap aku suka diam tapi memang betul pun.

 Selepas sarapan kami pun pulang semula ke dewan terbuka dan meneruskan slot bersama Cikgu Johari  iaitu slot "Public Speaking". Dalam slot ini kami diajar untuk menjadi lebih terbuka dan berani dalam berhadapan dengan orang ramai dan bermacam-macam lagi. Selesai bersama Cikgu Johari dan kami semua pun diserahkan kepada pihak Puskep untuk aktiviti berikutnya iaitu "Flying-Fox" dan "Paintball" yang sudah lama dinantikan oleh kami semua. Pertama ialah mengenai peraturan dan etikan ketika,semasa dan selepas aktiviti "Flying-Fox" ini yang diberikan oleh jurulatih yang benar-benar berpengalaman. Maka tamat sahaja ceramahnya mengenai peraturan kami pun memulakan aktiviti ini, memang menyeronokkan, terasa seperti di awangan. Pelbagai gelagat yang ditunjukkan oleh rakan-rakan baru aku ini. Ada diantaranya takut dan ada pula yang tidak sabar-sabar menanti giliran untuk turun kebawah sambil ditiup angin-angin yang mendayu.
 Apabila semua individu telah menuruni "flying-fox" ini. Kami bergerak semula ke dewan terbuka bagi meneruskan perjalanan yang telah dijadualkan dan sekarang kami berkumpul untuk bergerak ke dewan makan untuk minum petang dan kemudiannya bergerak ke bukit berdekatan yang atasnya mempunyai sukan mencabar iaitu "paintball". Sesampainya kami disana, kami terlebih dahulu dibahagikan kepada kumpulan yang kecil iaitu 13 kumpulan dan selepas itu kami diberi pula penerangan mengenai "paintball", undang-undangnya dan juga etika keselamatan yang perlu diguna pakai dan dituruti bagi menjamin tiadanya sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Aktivit berjalan dengan lancar dan menyeronokkan kerana melihat pertembungan dan aksi-aksi yang ditunjukkan oleh setiap peserta. Ada yang cuma berdiam diri, ada yang pantas mencari mangsa dan bermacam-macam lagi dengan dibantu oleh "marshall" yang handal dalam mengendalikan setiap perlawanan disini. Aktiviti ini berlanjutan hingga hari mulai senja (sebelum pukul 7), selesai sahaja, kami mula beransur dari kawasan pertempuran tadinya sangat meriah dan mula menuruni bukit yang telah kami daki pada mulanya tadi menuju ke dewan makan untuk minum petang.
 Selepas minum dan makan, kami dibenarkan untuk pulang ke dom masing-masing untuk mandi dan menyiapkan diri untuk jadual yang seterusnya iaitu malam kebudayaan "nightwalk". Persembahan untuk malam kebudayaan telah kami rancang pada petang hari tadi tetapi masih meragukan dan kami bercadang untuk mengadakannya secara sepontan. Kami turun ke surau untuk menunaikan solat jamaq antara magrib dan isyak. Selesai solat kami ke dewan makan pula untuk minum malam dan seterusnya beramai-ramai kami menuju ke dewan terbuka untuk menjalani aktiviti malam kebudayaan yang telah ditetapkan oleh faci-faci bagi kem kepimpinan ini. Hujan yang tadinya senyap kini mula membingit kembali dengan deruannya yang kuat dan angin juga membuatkan ada diantara kami yang tak tertahan sejuknya. Namun segalanya tidak dirasakan lagi semasa malam kebudayaan kem ini mula membuka tirai dengan persembahan-persembahan dan lakonan yang mencuit hati dan membuat kami kering gusi melihat telatah setiap kumpulan yang berada diatas pentas membuat persembahan mereka. Ada juga yang membawa mesej yang agak sayu.
 Oleh kerana hujan tetap memuntahkan nikmatnya, maka aktiviti "nightwalk" kami terpaksa dibatalkan akibat faktor keselamatan kami semua dan digantikan dengan slot Cikgu Faiz. Jelas kebanyakkan kami menunjukkan tanda kehampaan kerana tidak dapat melakukan aktiviti "nightwalk", tetapi segala perasaan hampa kami telah dipatahkan dengan slot Cikgu Faiz yang amat mencabar minda setiap dari kami. Hanya beberapa soalan yang diajukan kepada setiap kumpulan dan dikehendaki menghantar seorang wakil bagi setiap soalan dan masa yang diberikan ialah 1 minit untuk menyelesaikannya. Ada diantara jawapan soalan yang diajukan tidak masuk dek akal kepada kami semua tetapi itu merupakan suatu jawapan yang betul dan realiti. Dalam slot ini kami mengetahui bahawa untuk menyelesaikan sesuatu perkara, tidak semestinya berpandukan kepada jalan yang tegak, kita mampu membengkokkan akal hingga ada kalanya sesuatu penyelesaian dapat dilakukan dengan mudah dan tepat.
 Selesai sudah kami bersama Cikgu Faiz dan kini kami dikehendaki untuk berpaut antara bahu satu sama lain dan menyanyikan lagu-lagu mengenai teman dan perjuangan. Kami menyanyikan lagu Teman Sejati dan juga Kenangan Terindah sebagai tanda malam terakhir kami disini kerana keesokkan harinya kami akan bertolak pulang ke sekolah masing-masing dan mungkin disuatu masa yang jauh nanti baru kami semua dapat bertemu kembali. Tamat nyanyian kami, maka beransurlah kami semua pulang ke dom untuk melelapkan mata yang sudah tak tertahan lagi mengantuknya.
 

No comments:

Post a Comment